Usaha untuk menjadi orang yang baik ialah perjuangan nafas panjang. Sekali baik, belum tentu selamanya baik. Ada yang patah di tengah jalan. Ada yang tertipu di hujung jalan. Lihat sahaja sejarah Bal'am bin Baura dan Syeikh Barsisa yang terkenal itu.


Cara Menjadi Orang Yang Baik Mengikut Cara Islam
Cara Menjadi Orang Yang Baik Mengikut Cara Islam
Credit Pic : SUMBER


Betapa hawa nafsu dan syaitan akan sentiasa berusaha untuk menggagalkan manusia baik hingga saat sakaratulmaut. Oleh itu program untuk menjadi dan berterusan menjadi orang yang baik mesti di susun dan dilaksanakan sepanjang hayat.


Cara Menjadi Orang Yang Baik Mengikut Cara Islam


Antara program itu termasuk :

1. Sentiasa Berada Di Tempat Yang Baik

Carilah masjid, surau dan lain-lain tempat yang memberi persekitaran yang kondusif untuk menyuburkan iman dan Islam. Duduklah di situ. Ikuti program-program ibadah, majlis ilmu dan kerja-kerja kebajikan yang diaturkan oleh pihak masjid. Jadikanlah masjid tempat 'rehat dan rawat' keletihan dan kesibukan diri dalam mengharungi ujian hidup. Berehatlah dengan solat dan sujud.


2. Cari Kawan Dan Rangkaian Yang Baik

Kawan yang baik ialah kawan yang mengingatkan apabila kita terlupa dan membantu kita apabila kita beringat. Agama seseorang dipengaruhi oleh sahabat karibnya. Kawan yang beragama jangan sekali-kali diabaikan. Akrablah dengan seseorang yang akrab dengan Allah. Sebaliknya, bagi kawan-kawan yang melalaikan, jauhkan diri tetapi jangan sekali-kali memutuskan tali persaudaraan.


3. Sibukkan Diri Dengan Kebaikan

Cara menjadi orang yang baik ialah membuat kebaikan. Ingatlah, kita melakukan kebaikan bukan kerana kita sudah menjadi orang yang baik tetapi itulah usaha kita untuk menjadi orang yang baik.

Hukama berpesan, buatlah ibadah (kebaikan) hingga kita rasa penat untuk melakukan kejahatan. Bersolat, membaca al-Quran, berzikir dan berselawat mesti menjadi keutamaan.

Carilah program-program yang baik. Susun jadual mengikut program itu. Mula-mula kita mencorakkan program, lama-kelamaan secara automatik program akan mencorakkan kita.

Jika bercakap, melihat, mendengar, berfikir, menyangka, berimaginasi dan lain-lain hendaklah fokus kepada perkara yang baik-baik sahaja. Cakap yang baik-baik akan menghalang lidah daripada pertuturan yang jahat. Begitu juga perasaan dan fikiran akan mudah dipengaruhi oleh ucapan-ucapan yang baik.


4. Jadikan Orang Yang Baik Sebagai Mentor

Carilah guru yang baik yang dapat mendidik rohani kita menjadi orang yang baik. Jadikan tokoh-tokoh silam yang kebaikan peribadi dan peranan mereka sudah tidak dapat dipersoalkan lagi sebagai wira sanjungan kita. Terutamanya dalam kalangan para rasul, para sahabat, tabbin dan tabi' tabiin. Pelajarilah kisah dan sejarah mereka. Jadikanlah mereka sebagai kayu ukur dalam berfikir, mempertimbangkan dan bertindak.


5. Baca, Tonton, Dengar Yang Baik-Baik

Kata orang bijak pandai, "Siapa anda lima tahun akan datang bergantung kepada apa yang anda baca dan dengan siapa anda bergaul. Oleh itu untuk menjadi baik sentiasalah bergaul dengan orang yang baik dan membaca buku bacaan yang baik.

Bukan itu sahaja malah perlu dipastikan apa yang kita tonton dan dengar juga ialah bahan yang baik-baik. Pastikan filem, drama, lagu dan media massa yang kita berinteraksi dengannya adalah sumber yang baik dan bersemangat. Ingat, siapa diri kita bergantung kepada apa yang kita baca, lihat dan dengar.


6. Tolak Orang Jahat Menjadi Rujukan Dan Sanjungan

Buang jauh-jauh figura yang menjadi musuh Allah sebagai sanjungan. Begitu juga orang yang terang-terangan menentang syariat dan bangga melakukan dosa. Jangan sekali-kali reda dengan musuh tradisi Islam yakni Yahudi dan Nasrani.

Jangan ditiru cara hidup mereka yang penuh unsur hedonisme dan kelalaian. Juga jangan berkompromi dengan idea, budaya dan cara hidup musuh ini bukan sahaja dalam perkara-perkara besar bahkan dalam hal-hal kecil.

Akhirnya berdoalah agar Allah memudahkan jalan menuju-Nya. Jangan sekali-kali lupa akan kekuatan dan keberkesanan doa. Doa ialah permulaan dan pengakhiran dalam perjuangan menjadi orang yang baik. Doa itu senjata. Doa itu penawar. Dia itu perisai. Doa itu bekalan.

Maka, jangan berhenti berdoa seiring langkah mujahadah menjadi orang yang baik. Ingatlah, walaupun menjadi orang yang baik itu sangat sukar tetapi menjadi orang yang jahat jauh berganda-ganda lebih sukar.


SUMBER - Pahrol Mohamad Juoi

Post a Comment

Previous Post Next Post