Ada manusia yang diuji dengan ujian harta benda. Ada juga manusia yang diuji dengan hal rumahtangga. Tidak terlepas, ada yang diuji dengan jodoh yang tidak kunjung tiba walaupun sudah berkali-kali berusaha.


Maksud Tersirat Mengapa Jodoh Anda Belum Sampai
Maksud Tersirat Mengapa Jodoh Anda Belum Sampai
Credit Pic : SUMBER

Ini perkara biasa yang akan diterima apabila seseorang itu sudah menginjak umur dewasa. Soalan ini juga boleh jadi satu isu yang sensitif malah boleh mengakibatkan trauma buat mereka yang masih belum berkahwin.


Maksud Tersirat Mengapa Jodoh Anda Belum Sampai


Apatah lagi, yang masih belum bertemu lagi dengan calon pasangan hidup masing-masing. Bahkan, buat mereka yang sudah pun merancang masa depan dengan calon yang sedia ada, namun timbul pula masalah lain pula yang membantutkan langkah mereka.


1- Peluang Berbakti Kepada Ibu Bapa

Yakini bahawa salah satu hikmah Allah menetapkan lewatnya jodoh kerana mahu memberi peluang untuk kita mencintai orang tua yang sudah lama menjaga dan menyayangi kita dari kecil sehinggalah dewasa.

Mungkin dahulu, kita terlalu sibuk menuntut ilmu dan segala aktiviti di zaman remaja, sehingga kurangnya masa bersama orang tua kita. Nanti bila sudah berkahwin pula, bakal sibuk dengan rumahtangga pula.

Maka, inilah peluang terbaik untuk berkhidmat kepada mereka dengan sebaiknya. Sekiranya anda merupakan seorang anak perempuan, anggaplah bahawa mentaati ibu bapa merupakan latihan buat diri sebelum melangkah beralih mentaati seorang lelaki yang bergelar suami.


2 -Peluang Memperbaiki Diri

Sebenarnya, ramai yang menyangkakan pernikahan itu mudah dan indah. Namun, sebenarnya, pernikahan merupakan satu tanggungjawab yang besar.

Ibaratnya, ia adalah peralihan kehidupan seorang hamba ke suatu tahap yang dirinya bakal lebih lagi diuji daripada hidup yang sebelumnya bersendiri.

Manakan tidak, kehadiran bukan cuma hanya seorang, malah lebih ramai manusia yang bakal masuk ke dalam diari hidup seseorang yang seterusnya nanti.


3- Pengalaman Mengajar Diri

Apabila seseorang itu yang diuji dengan percubaan mencari jodoh berkali-kali, ini sebenarnya membuahkan satu pengalaman berharga buat dirinya. Bukankah ujian itu mematangkan?

Ada orang, sudah siap berkenalan. Tiba-tiba, terputus pula di tengah jalan.

Ingatlah, Allah pertemukan kita dengan si dia, pasti ada hikmahnya. Setiap manusia yang hadir dalam kehidupan kita sebenarnya telah Allah hadirkan bagi mengajar sesuatu buat diri kita.

Sama ada mengajar bahawa wujudnya manusia yang berperangai sebegitu dan sebegini, atau mengajarkan sesuatu yang lebih bermakna, iaitu jangan mengharapkan selain Dia sahaja.

Sebab itu, pentingnya apabila hadir seseorang yang mahu berkenalan dengan kita, jangan gelojoh memikirkan ‘Dialah jodohku sebenarnya !!!’

Tetapi fikirkan, ‘Adakah yang datang ini jodohku atau ujian?’


4- Allah Mahu Hadiahkan Yang Lebih Baik

Adakala, kita terlalu mengharap pada seseorang. Hati kuat mengiyakan bahawa dialah jodoh kita yang sebenarnya.

Tetapi, rupa-rupanya, takdir Allah tidak menentukan. Kita rebah sendiri dalam kesedihan. Awas, jangan terlalu ikutkan perasaan.

Sekiranya Allah mengambil sesuatu dari kita, sebenarnya Dia mahu memberikan sesuatu yang lebih baik. Anggaplah segala usaha yang sudah pun dilakukan itu sebagai satu ujianNya.

Kemudian, apabila gagal, jangan mudah putus asa. Yakinilah bahawa akan ada yang lebih baik yang Allah simpankan buat kita.

Amalkanlah doa yang Rasulullah pernah ajarkan kepada kita. Semoga ada pengganti yang lebih baik Allah berikan semula kepada kita.


5- Belajar Mencintai Allah

Apabila jodoh belum ditakdirkan buat kita, pasakkan dalam diri bahawa inilah peluang kita untuk kita mula bercinta dengan Allah, mendekatkan diri dengan Allah.

Sebenarnya Allah sedang memberikan peluang buat kita untuk belajar mencintai Allah Yang Maha Esa sebelum mencintai manusia yang penuh dosa.

Hakikatnya, cinta Allah tidak pernah mengecewakan, sedangkan cinta manusia selalunya menghampakan.

Allah jualah pemilik sebenar cinta. Dia jugalah yang mencintai hambaNya dengan sebenar-benar cinta.

Yakinlah bahawa Allah terlalu sayangkan kita sehingga Dia memberi peluang untuk kita mantapkan cinta padaNya dahulu sebelum mencintai manusia ciptaanNya.


Kesimpulan

Semoga dengan memahami hikmah-hikmah yang disebutkan tadi, anda menjadi lebih berlapang dada apabila diajukan dengan soalan ‘sensitif’ seperti tadi.

Biarlah orang mahu mengatakan apa. Manusia tidak memahami apa-apa. Hanya Allah yang berhak ke atas diri setiap hamba-Nya. Jadi, balaslah dengan perkataan yang baik-baik sahaja.


Baca Juga : Cara Mengekalkan Keharmonian Dalam Rumahtangga Suami Isteri

Post a Comment

Previous Post Next Post