Majlis pertunangan bukanlah sekadar mengikat pertalian antara seorang perempuan dan lelaki yang akan dinikahkan. Namun dalam majlis itu juga, kedua-dua belah pihak boleh mengambil peluang untuk “berbincang” tentang masa depan pertalian tersebut.
Adakah Dibolehkan Membuat Majlis Petunangan Secara Besar-Besaran Dalam Islam ? Credit Pic : SUMBER |
Soalan :
Apa hukum mengadakan majlis pertunangan secara besar-besaran?
Adakah Dibolehkan Membuat Majlis Petunangan Secara Besar-Besaran Dalam Islam ?
Jawapan :
Bertunang bermaksud mengikat janji untuk menjadi suami isteri (berkahwin). Meminang pula bermaksud meminta anak gadis supaya menjadi isteri, melamar, meminang. Contohnya seseorang berkata: “Orang muda yang kaya itu datang meminang engkau.”
Dapat difahami bahawa pertunangan ialah sebagai satu tanda persetujuan oleh kedua-dua pihak dalam rangka membina rumah tangga menjadi suami isteri.
Pertunangan Menurut Islam
Pertunangan dalam Islam bertujuan bagi mengenal akhlak dan sifat pasangan sebelum diadakan akad nikah. Ia dapat membantu dalam menguatkan hubungan cinta serta mempersiapkan diri masing-masing sebelum berkahwin. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat yang ingin bertunang:
“Lihatlah perempuan itu terlebih dahulu kerana ia akan lebih mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.” (Riwayat al-Tirmizi (1087))
Begitu juga hadith dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sahal bin Sa’d R.A, katanya yang bermaksud :
“Seorang menemui Rasulullah SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, aku datang menyerahkan diriku kepadamu! Lalu Rasulullah SAW memerhatikan perempuan itu ke atas dan ke bawah dan kemudian Baginda menundukkan kepalanya.” (Riwayat al-Bukhari (4833))
Aku menyerahkan diriku kepadamu bermaksud menyerahkan dirinya kepada Rasulullah SAW agar mengahwininya tanpa mas kahwin atau mengahwinkannya dengan orang yang sesuai.
Hadith yang seterusnya, daripada Abu Hurairah RA, katanya :
“Ketika aku bersama-sama Nabi SAW, seorang lelaki telah menemui Baginda, lalu memberitahu bahawa dia akan mengahwini seorang perempuan Ansar. Maka, Rasulullah SAW bersabda: Adakah engkau melihatnya? Lelaki itu menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Pergilah lihat perempuan itu kerana pada mata Ansar terdapat suatu kelainan daripada mata perempuan lain, yang mungkin tidak menarik hatimu.” (Riwayat Muslim (3550))
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Humayd al-Sa’idi RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Apabila seseorang daripada kamu ingin meminang seorang perempuan, tidaklah salah melihatnya dahulu, jika tujuan melihat itu untuk meminang walaupun tidak diketahui oleh perempuan.” (Riwayat Ahmad (23602))
Seorang perempuan juga berhak melihat lelaki yang ingin dikahwininya bagi memastikan keadaan lelaki tersebut supaya tidak menyesal selepas perkahwinan. Hal ini adalah kerana perempuan juga tertarik hati dengan lelaki, sepertimana lelaki tertarik hati dengan perempuan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/529)
Hukum Adakan Majlis Pertunangan Secara Besar-besaran
Menjawab persoalan, tidak digalakkan untuk mengadakan majis bertunang secara besar-besaran. Namun, jika mampu dibolehkan. Jika tidak mampu, maka tidak perlu. Walaupun begitu, kami lebih cenderung supaya tidak dilakukan secara berlebih-lebihan sehingga membawa kepada pembaziran.
Apa yang penting dan lebih utama adalah barakah dan doa dalam apa jua perkara. Itulah yang lebih utama untuk dicapai. Jika hanya sekadar jamuan dan makan makanan dan serta niat menunjuk-nunjuk, maka itu tidak memberi banyak manfaat.
Begitu juga, kami cadangkan agar pertunangan yang dilangsungkan sebaik-baiknya dipendekkan tempoh masanya hanya beberapa minggu atau sebulan dua sahaja. Ini kerana, matlamat asal adalah perkahwinan dan mengelak sebarang bentuk dan pintu yang membawa kepada maksiat.
Semoga Allah jauhkan kita daripada perkara tersebut.
SUMBER
Baca Juga : Tanda-Tanda Anda Sudah Bersedia Untuk Berkahwin Tanpa Anda Sedari
Post a Comment