Kemurungan adalah masalah kesihatan mental yang tidak boleh diambil ringan oleh masyarakat Malaysia terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang dalam peringkat usia remaja.

Ketahui Tanda-Tanda Anak Anda Mengalami Kemurungan Yang Perlu Ibubapa Ambil Tahu
Ketahui Tanda-Tanda Anak Anda Mengalami Kemurungan Yang Perlu Ibubapa Ambil Tahu
Credit Pic : SUMBER

Dalam satu tinjauan yang dilakukan terhadap remaja yang berumur 13 hingga 17 mendapati satu daripada lima remaja Malaysia mengalami kemurungan, sementara dua daripada lima remaja Malaysia yang berada dalam lingkungan umur berkenaan mengalami masalah kebimbangan bercelaru.

Ketahui Tanda-Tanda Anak Anda Mengalami Kemurungan Yang Perlu Ibubapa Ambil Tahu


Di samping itu, kajian yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Masyarakat, Jabatan Psikiatri dan Jabatan Perubatan Keluarga, Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati 27.5 peratus daripada pelajar di universiti menghadapi masalah kemurungan yang sederhana, sementara 9.7 peratus lagi menghadapi masalah kemurungan tahap kritikal.

Kedua-dua pemerhatian di atas menunjukkan bahawa masalah kesihatan mental terutamanya dalam kalangan remaja di Malaysia adalah satu realiti yang perlu dihadapi dan juga diatasi oleh masyarakat Malaysia terutama ibu bapa.

Punca Kemurungan

Lazimnya, terdapat pelbagai faktor yang menjadi punca seseorang remaja itu terdedah kepada risiko kemurungan. Selain peningkatan tanggungjawab dalam kehidupan, tekanan untuk mengekalkan prestasi dalam pelajaran di sekolah juga adalah antara punca yang dikesan menjadi penyebab kepada gejala kemurungan dalam kalangan remaja di Malaysia.

Di samping itu, faktor keturunan juga adalah antara punca yang menjadi penyebab seseorang remaja itu terdedah kepada risiko kemurungan.

Simptom Kemurungan Remaja

Remaja mahupun kanak-kanak yang menghadapi masalah kemurungan lazimnya akan menunjukkan perlakuan mahupun gaya pemikiran tertentu seperti hilang motivasi dalam kehidupan seharian dan duduk di dalam bilik untuk suatu jangka waktu yang lama.

Selain itu, remaja yang berhadapan dengan masalah ini juga akan tidur secara berlebihan, mengamalkan amalan pemakanan yang tidak menentu serta turut terjebak dengan perlakuan jenayah juvenil seperti mencuri.

Simptom lain yang dikongsikan oleh WebMD dalam usaha mengenal pasti seseorang remaja yang mempunyai masalah kemurungan  adalah: 

- Bersikap apati; sikap tidak mempunyai belas kasihan atau tidak ambil peduli
- Selalu mengadu sakit kepala, perut dan bahagian bawah pada bahagian belakang badan
- Sentiasa penat
- Mempunyai masalah untuk mengekalkan tumpuan dan membuat keputusan
- Menunjukkan rasa bersalah yang berlebihan
- Menghadapi masalah untuk mengekalkan ingatan
- Berjaga pada waktu malam dan tidur pada siang hari
- Prestasi pembelajaran yang merudum secara tiba-tiba

Apa Yang Ibu Bapa Boleh Lakukan

Perkara yang ibu bapa perlu lakukan jika anak mereka dikesan mempunyai tanda-tanda kemurungan adalah dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar perubatan di hospital berdekatan.

Khidmat nasihat daripada pakar amat penting kerana masalah kemurungan adalah penyakit yang mempunyai pelbagai jenis dan juga tahap yang perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Terdapat beberapa kaedah perubatan yang diamalkan oleh pakar dalam menangani kemurungan iaitu melalui ubat-ubatan dan juga psikoterapi. Pemilihan kaedah rawatan yang digunakan akan dibuat oleh pakar berdasarkan jenis dan juga tahap kemurungan yang dialami oleh seseorang remaja yang menghadapi masalah berkenaan.

Selain itu, perubahan gaya hidup juga boleh mengubati penyakit kemurungan yang dialami oleh seseorang remaja dengan cara menetapkan waktu tidur yang teratur, bersenam secara konsisten dan juga pengamalan diet pemakanan yang sihat.

Di samping itu, ibu bapa juga perlu lebih peka dengan keadaan mental anak-anak supaya apa sahaja perbuatan yang dilakukan mereka tidak memburukkan lagi situasi dan masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka.

Ibu bapa seharusnya sentiasa menjalinkan komunikasi yang baik dengan anak-anak di dalam kehidupan seharian. Dengan cara itu, anak-anak akan berasa dihargai dan tidak takut untuk berkongsi masalah mereka dengan ibu bapa.

Keadaan berkenaan hanya akan berhasil sekiranya ibu bapa tidak mempunyai stigma yang negatif terhadap kemurungan, justeru sikap dan pemahaman yang betul oleh ibu bapa adalah sangat penting dalam usaha untuk menangani kemurungan dalam kalangan remaja di Malaysia.

SUMBER

Baca Juga : Cara Mudah Bagi Melatih Bayi Anda Untuk Tidur Sepanjang Malam



Post a Comment

Previous Post Next Post