Alkisahnya, di sebuah perkampungan terdapat seorang pemuda bernama Mubarak. Beliau memang dikenali sebagai pemuda yang mempunyai keperibadian yang luhur dan jujur.
Kisah Kejujuran Seorang Pemuda Menemukan Cintanya Credit Pic : SUMBER |
Asalnya, beliau merupakan seorang hamba. Setelah dimerdekakan, Mubarak diterima bekerja sebagai penjaga kebun yang menanam buah-buahan antaranya delima, milik seorang jutawan.
Kisah Kejujuran Soerang Pemuda Menemukan Cintanya
Suatu hari, majikannya itu memanggil Mubarak lalu berkata;
“Wahai Mubarak, tolong ambilkan aku buah delima yang masak dan rasanya yang manis.”
Mendengarkan arahan majikannya, Mubarak segera mendapatkan buah seperti ciri-ciri yang diminta.
Mubarak memetik beberapa buah delima lalu, diserahkan kepada majikannya. Sebaik majikannya menggigit buah pemberian Mubarak, wajahnya terus berubah.
Rupa-rupanya, buah yang diberikan Mubarak kepadanya itu belum masak dan masam rasanya. Majikannya berasa tidak puas hati dan berkata;
“Wahai Mubarak, tidakkah engkau tahu membezakan antara buah delima yang manis dan masam?”
Mubarak menjelaskan;
“Maafkan saya, Tuan. Ya, memang benar saya tidak dapat membezakan buah delima yang masam juga manis. Ini kerana sepanjang saya menjadi penjaga kebun milik Tuan ini, saya langsung tidak pernah memakan buah tersebut.”
Majikannya yang mendengar penjelasan Mubarak itu berasa terkejut. Mana mungkin kebun yang luas dan ditanam dengan buah delima itu tidak diusik oleh Mubarak walau satu biji pun. Majikannya membalas;
“Kamu bohong! Aku langsung tak percaya dengan kata-katamu ini. Usah berlagak baik di depanku, Mubarak.”
Mubarak berkata lagi;
“Demi Allah, saya tidak pernah memetik dan memakan buah di kebun Tuan ini untuk saya makan sendiri. Saya hanya diperintahkan oleh Tuan untuk mengawasi dan menjaga kebun yang luas ini, tetapi Tuan tidak pernah mengizinkan saya untuk memakannya.”
Mendengarkan itu, majikannya tersentak. Dia berasa kagum dengan sifat yang dimiliki oleh pekerjanya itu.
Namun begitu, bagi memastikan kata-kata Mubarak itu benar dia telah memanggil beberapa pekerjanya yang lain di kebun tersebut dan bertanyakan tentang sikap Mubarak. Lalu jawab pekerjanya yang lain;
“Ya, benar Tuan. Mubarak adalah seorang pekerja yang jujur, amanah dan tidak pernah berbohong. Apa yang diperkatakan itu adalah benar belaka.”
Sekali lagi majikannya tersentak dan dalam masa sama berasa kagum. Dia langsung tidak menyangka masih ada pemuda yang jujur seperti Mubarak.
Hatinya senang kerana memiliki Mubarak sebagai pekerjanya. Lalu dipanggil kembali Mubarak menemuinya, lantas ditanya hal yang serupa sekali lagi. Majikannya bertanya lagi untuk kepastian;
“Benarkah kamu langsung tidak pernah mencicip walau sedikit pun buah delima yang ada di kebunku ini, wahai Mubarak?”
Mubarak menjawab;
“Ya, benar Tuan. Tuan hanya meminta saya untuk menjaga kebun ini bukan untuk menikmati hasilnya. Saya juga takut jika termakan makanan yang syubhah mahupun haram.”
Terdiam sejenak majikannya itu mendengarkan penjelasan demi penjelasan dari pekerjanya yang jujur dan berhati emas. Ada sedikit air mata yang jatuh ke pipi majikannya itu kerana terharu. Lama dia berdiam diri dan tiba-tiba, majikannya itu berkata;
“Wahai Mubarak, aku mempunyai seorang anak gadis dan aku mahu mencarikan calon untuknya. Menurut kamu, pemuda bagaimanakah yang layak untuk aku nikahkan dengan puteriku itu?”
Mubarak lantas menjawab;
“Orang-orang Yahudi mengahwinkan anaknya kerana harta. Orang Nasrani mengahwinkan anaknya kerana keindahan. Orang Arab pula mengahwinkan anaknya kerana keturunannya. Manakala orang Muslim mengahwinkan anaknya berdasarkan nilai iman dan taqwanya. Oleh itu, terpulanglah kepada Tuan mahu mencontohi golongan yang mana.”
Majikannya berkata penuh pengharapan;
“Wahai Mubarak, aku tidak mengenali seorang pun yang taqwanya melebihi ketaqwaanmu. Aku berasa senang dengan sikapmu itu. Oleh itu, aku ingin meminangmu untuk puteriku. Sudikah engkau menjadi suami untuk anakku dan membimbingnya dengan baik?”
Mubarak terdiam sejenak kerana dia tidak menyangka majikannya akan berkata demikian. Bahkan, dia langsung tidak terlintas untuk berkahwin dengan orang yang jauh lebih tinggi dari segi kedudukannya, iaitu anak seorang jutawan.
Lama juga Mubarak berfikir. Tidak lama setelah itu, dia pun mengangguk dan menyatakan persetujuannya untuk dinikahkan dengan anak majikannya itu.
Alangkah gembiranya hati majikannya itu apabila pemuda yang membuatkan dirinya mengalirkan air mata itu akhirnya bersetuju menjadi sebahagian daripada ahli keluarganya. Anak gadis majikannya itu pun diperkenalkan dengan Mubarak dan mereka selamat bernikah.
Ternyata puteri majikannya itu juga bukan calang-calang orangnya. Beliau adalah muslimah solehah yang menghafaz Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Mubarak bersyukur ke hadrat Ilahi di atas perjalanan hidup yang ditempuhinya itu.
Mudah-mudahan, pada zaman kita ini masih ada lagi pemuda seperti Mubarak yang nilainya tinggi di sisi Allah s.w.t kerana keimanan dan ketaqwaannya. Wallahua’lam.
SUMBER
Baca Juga : Perlukah Diberi Peluang Kedua ?
Post a Comment