Jika anak dalam kandungan berusia empat bulan mengalami kecacatan seperti tempurung kepala tidak sempurna, adakah dibolehkan menggugurkan kandungan itu ? 

Apakah Hukum Menggugurkan Kandungan Janin Dalam Islam
Apakah Hukum Menggugurkan Kandungan Janin Dalam Islam
Credit Pic : SUMBER


Pengguguran bayi dalam kalangan wanita Islam satu fenomena yang menjadi permasalahan bersifat domestik dan antarabangsa. Ia bukan perkara baru dan sudah dibincangkan ulama dalam kitab fiqh klasik dan moden.

Apakah Hukum Menggugurkan Kandungan Janin Dalam Islam


Hukum menggugurkan bayi dalam kandungan boleh dibahagikan kepada dua iaitu menggugurkan kandungan sebelum berusia empat bulan dan menggugurkannya selepas berusia empat bulan.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas'ud yang bermaksud : Sesungguhnya setiap daripada kamu dihimpunkan penciptaannya di dalam rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah ('alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan ke dalam roh. (Riwayat al-Bukhari - 3208 & Muslim - 2643)

Menggugurkan kandungan berusia empat bulan atau kurang daripadanya termasuk dalam perkara yang menjadi perseelisihan dalam kalangan ulama kerana tempoh itu roh belum lagi ditiupkan.

Majoriti ulama mengatakan, hukumnya adalah haram. Sebahagian lagi mengatakan hukumnya makruh. 

Sebahagian lagi pula berpendapat, hukumnya harus dengan syarat tertentu. (Rujuk Mausu;ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah - 2/58-59, Nihayah al-Muhtaj - 8/416)

Adapun menggugurkan kandungan selepas berusia empat bulan, ulama bersepakat hukumnya haram kerana pada usia itu, roh sudah ditiupkan ke dalam kandungan ibu.

Namun, diharuskan menggugurkan bayi di dalam kandungan walaupun sudah ditiupkan roh kepadanya (selepas berusia empat bulan) jika ia boleh mengancam nyawa ibunya. (Rujuk Mausu'ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah - 2/57)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 26 yang diputuskan pada 7 Mac 1990 menyatakan :

1. Menurut Ijmak Fuqaha, haram menggugurkan janin yang sudah berusia lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang sudah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.

2. Makruh menggugurkan janin berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranyaa tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan daripada suami dan isteri.

3. Ijmak Fuqaha berpendapat bahawa hukum pengguguran janin berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Muzakarah mengambil keputusan bahawa haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Berdasarkan nas, perbincangan dan fatwa berkenaan, bayi di dalam kandungan berusia empat bulan dan ke atas tidak boleh digugurkan kecuali pengguguran itu bertujuan untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan teruk selain selepas mendapat nasihat daripada pakar perubatan yang bertauliah.


SUMBER


Baca juga : Benarkah Iblis Berasal Dari Malaikat?


Post a Comment

Previous Post Next Post