DAJAL adalah seorang manusia daripada keturunan Nabi Adam AS. Dia memiliki pelbagai sifat seperti yang diterangkan dalam beberapa hadis.
Siapa Sebenarnya Dajjal, Adakah Seorang Manusia ? Credit Pic : SUMBER |
Ini bagi memastikan manusia dapat mengenalinya dan menjauhkan diri daripada kejahatan. Sekiranya ia muncul, Dajal pasti dapat dikenali oleh orang beriman dan mereka tidak terpedaya dengan tipu dayanya.
Siapa Sebenarnya Dajjal, Adakah Seorang Manusia ?
Sifat dajal sudah pun dijelaskan oleh Nabi SAW dalam hadis Baginda. Sifat itulah yang membezakan dirinya dengan orang lain. Tiada siapa yang terpedaya melainkan orang jahil yang sudah ditakdirkan mendapat kecelakaan.
Satu hadis riwayat Ahmad daripada Hisyam bin ‘Amir bin al-Ansari, beliau berkata: Aku pernah mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sejak penciptaan Adam sehinggalah hari kiamat tidak terdapat fitnah yang paling dahsyat selain daripada fitnah Dajal.”
Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis riwayat Muslim: “Dajal adalah orang yang rosak sebelah matanya dan di antara dua dahinya tertulis ‘kafir’...”
Fitnah Dajal adalah fitnah paling dahsyat pernah berlaku sejak Allah SWT menciptakan Nabi Adam hingga hari kiamat.
Ia disebabkan peristiwa luar biasa yang dimilikinya sehingga dapat menghilangkan kewarasan akal. Seperti diriwayatkan, Dajal membawa syurga dan neraka.
Hakikatnya, syurganya adalah neraka dan neraka adalah syurga. Dia membawa sungai yang dipenuhi dengan air dan gunung roti.
Dia boleh mengarahkan langit supaya menurunkan hujan dan arahan itu dipatuhi oleh langit. Jika dia memerintahkan bumi supaya menumbuhkan tumbuhan, maka tumbuhan akan tumbuh.
Dia diikuti oleh kekayaan perbendaharaan bumi. Dia boleh menempuh perjalanan secepat kilat bagaikan hujan mengejar angin dan pelbagai lagi keajaiban lain.
Dalam riwayat Muslim Rasulullah SAW bersabda: “Dajal itu buta pada mata sebelah kiri, berambut tebal serta mempunyai syurga dan neraka. Tetapi nerakanya adalah syurga dan syurganya adalah neraka.”
Dalam riwayat Muslim Rasulullah SAW ada juga bersabda: “Akulah yang paling mengetahui tentang Dajal. Dia membawa dua sungai yang mengalir, sungai yang pertama terlihat aliran air yang putih, sedangkan sungai kedua lagi terlihat aliran api yang berkocak. Oleh itu sesiapa yang berjumpa dengannya, hendaklah mendatangi sungai yang berupa api, lalu pejamkan matanya. Kemudian menunduk sambil meminumnya kerana sebenarnya ia adalah air yang terasa sejuk.”
Dalam riwayat Ibn Majah, Rasulullah SAW bersabda: “Antara fitnah yang dilakukan, Dajal berkata kepada seorang Arab Badwi: “Jika aku mampu membangkitkan semula bapa dan ibu kamu, adakah kamu bersaksi bahawa aku ini adalah tuhan kamu? Arab Badwi menjawab: “Ya! Kemudian datanglah dua syaitan yang menyerupai rupa bentuk ibu dan bapanya dan kedua-duanya berkata: “Wahai anakku, ikutilah dia (Dajal) kerana dia adalah tuhan kamu.”
Baginda berpesan : Sesiapa yang hafal sepuluh ayat daripada permulaan surah al-Kahfi, dia terpelihara daripada fitnah dajal.” (Riwayat Muslim)
Ini dah terbukti bahawa Surah al-Kahfi memang mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang luar biasa sehingga Baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya sehingga hari Jumaat berikutnya.” (Riwayat al-Hakim)
Sebaik-baiknya adalah menetap di tempat yang tidak dimasuki Dajal sebagaimana sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari: “Tidak akan ada sebuah negeri pun yang tidak dipijak Dajal melainkan Makkah dan juga di Madinah.
Ini kerana di setiap jalan yang menuju ke kota itu terdapat malaikat yang berbaris menjaganya. Kemudian Kota Madinah bergoncang sebanyak tiga kali. Kesemua orang kafir serta orang munafik keluar dari Madinah dan mendatangi Dajal.”
Baca Juga : Mengapa Allah Menciptakan Neraka Dan Syurga ?
Post a Comment