Artikel Terkini

Berkahwin Atau Haji ? Yang Mana Dahulu ?


Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul atau bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah ijab dan Qabul ('aqad) yang  bermaksud menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata melalui nikah.

Koleksi Soal Jawab Agama


Berkahwin Atau Haji ? Yang Mana Dahulu ?
Berkahwin Atau Haji ? Yang Mana Dahulu ?
Credit Pic : SUMBER 1 | SUMBER 2


Soalan : 

Bagaimana jika seseorang mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan Haji tetapi dia juga ingin berkahwin ? 


Berkahwin Atau Haji ? Yang Mana Dahulu ?


Jawapan : 


Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah WT : 
''Maksudnya : Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.'' (Surah al-Zariyaat: 49)
Dari istilah syarak, nikah ialah satu akad yang menghalalkan istimta' (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Shafie,hlm.671)

Setiap manusia yang sudah dewasa dan sihat dari sudut fizikal dan rohaninya sudah semestinya merasakan keinginan untuk berkahwin yang sangat tinggi disebabkan fitrah untuk saling memerlukan. Perkataan 'zawaj' yang digunakan di dalam Al-Quran bermaksud berpasangan dan mengikut konteks penggunaanya ia membawa maksud perkahwinan. Allah SWT menjadikan suatu perkahwinan itu untuk menghalalkan hubungan dan mengelakkan penzinaan ,kerana manusia itu fitrahnya ingin berpasangan.

Oleh sebab itu, adalah dituntut kepada manusia yang sudah berkemampuan untuk segera melaksanakan sunnah yang dituntut ini, ini juga berdasarkan hadis nabi : 

Rasulullah SAW bersabda : 
'' Wahai para pemuda ! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.'' (Riwayat Muslim 3386).


Hukum Perkahwinan


Jumhur ulama' telah bersepakat bahawa hukum asal pernikahan adalah sunnah bukannya wajib. Walaubagaimanapun, sebahagian ulama' telah membahagikan hukum nikah kepada 5 hukum mengikut kedudukan pelakunya : 

- Harus : Kepada orang yang tidak ada kepadanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.

- Wajib :  Sekiranya orang tersebut mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumuskannya kepada kemaksiatan sedangkan dia merupakan seorang yang berkemampuan.

- Sunat : Bagi orang yang mampu namun masih mampu mengawal nafsunya.

Makruh : Kepada orang yang tidak berkemampuan dari sudut nafkah batin dan juga zahir tetapi tidak mendatangkan kemudharatan kepada pasangannya tersebut.

Haram : Orang yang juga tidak berkemampuan memberi nafkah zahir dan batin serta tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin atau dia mempunyai niat yang buruk sehingga mempu membawa kemudharatan kepada pasangannya.


Oleh hal yang demikian, jika dilihat hukumnya bergantung kepada individu terbabit, sekiranya dia mampu untuk menahan dirinya dan dia tidak terburu-buru untuk berkahwin maka hendaklah dia mengerjakan hati terlebih dahulu berdasarkan Firman Allah SWT : 
''Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. barangsiapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukans sesuatu) dari semesta alam.''(Surah Ali Imran:97)

Dan ini dapat diperkukuhkan lagi dengan hadis Nabi SAW yang lain yang bermaksud : 
'' Islam dibangun di atas lima perkara : bersaksi tidak ada sembahan yang berhak disembah selain Allah dan mengaku Muhammad adalah utusan-Nya, mendirikan shalat, menunaikan zakat, berhaji dan berpuasa di bulan Ramadhan.''(Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)).

Walau bagaimanapun, sekiranya dia khuatir tidak mampu untuk menahan dirinya daripada melakukan kemaksiatan maka hendaklah dia mendahulukan perkahwinan bagi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar.



Pendapat Ulama'


Syeikh Ibn Qudamah Rahimullah telah berkata : '' Jika dia perlu kepada pernikahan dan dikhuatiri dirinya menghadapi kesulitan (kerana belum bernikah), maka hendaklah dia mendahulukan perkahwinan terlebih dahulu. Hal ini kerana ia (pernikahan itu) wajib kepadanya sekiranya dia mampu untuk memberi nafkah dan sekiranya dia tidak khuatir tentang perkara tersebut maka hendaklah dia mendahulukan menunaikan Haji. Hal ini disebabkan (ketika itu) pernikahan adalah sunnah, maka tidak perlu didahulukan daripada Haji yang hukum asalnya adalah 'Wajib'. *Rujuk al-Mughni, 5/12).

Syeikh Ibn Uthaiman Rahimullah berkata : ''Tidak dapat diragukan lagi bahawa pernikahan adalah diutamakan daripada Haji sekiranya seseorang itu telah memiliki dorongan syahwat yang sangat kuat, maka perkahwinan ketika itu padanya adalah merupakan keharusan kepada kehidupannya dan sekiranya dia mempunyai keinginan untuk berkahwin yang tinggi maka hendaklah dia mendahulukan pernikahan daripada Haji. Hal ini disebabkan Allah SWT telah mensyariatkan bahawa kewajipan menunaikan haji bagi orang yang telah 'berkemampuan'. Ini berdasarkan firman Allah SWT : 
'' Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup berjalan menuju ke Baitullah.''(Surah Ali Imran :97)

Walaupun orang yang masih remaja dan masih belum mempunyai keinginan untuk bernikah pada tahun ini atau selepasnya, maka hendaklaj dia mendahulukan Haji. Ini kerana dia tidak berada di dalam terdesak untuk mendahulukan Haji daripada pernikahan. (Rujuk Fatawa Manar al-Islam, 2/375) 



Kesimpulan


Haji dan perkahwinan juga merupakan suatu perkara yang sangat dituntut di dalam agama Islam. Walau bagaimanapun haji merupakan suatu kewajipan yang mesti dilaksanakan bagi golongan yang berkemampuan. Dan sekiranya seseorang itu tidak berada di dalam keadaan yang terdesak untuk berkahwin dan tidak mempunyai masalah untuk berkahwin sesudah itu, maka hendaklah dia melaksanakan kewajipan haji terlebih dahulu. Sesungguhnya Allah akan memberi ganjaran kebaikan sebagai gantinya kerana haji merupakan suatu seruan dan suruhan Allah yang agung kepada manusia. 

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya.

Wallahua'lam.


SUMBER

No comments:

Post a Comment