Muzakarah Jawatan Kuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 01/2016-1437H yang bersidang pada 28 Januari 2016 bersamaan 18 Rani'al-Akhir 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Bil. 3/2015 berkenaan Hukum Rokok Elektronik dan Vape dengan sighah seperti berikut :

Apakah Hukum Menghisap Vape Dan Rokok Elektronik
Apakah Hukum Menghisap Vape Dan Rokok Elektronik
Credit Pic : SUMBER


1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukan Muzakarah mendapati bahawa : 

Apakah Hukum Menghisap Vape Dan Rokok Elektronik 


Rokok elektronik mengandungi Nikotin, Propylene Glycol, Vegetable Glycerin dan bahan perisa dan pewarna. Manakala vape pula mengandungi Propylene Glycol, Vegetable Glycerin dan bahan perisa dan pewarna.

Bahan-bahan yang terkandung rokok elektronik dan vape tersebut boleh memudaratkan dan boleh memberi kesan kepada kesihatan seperti ketagihan, menggalakan pembekuan darah, kematian mengejut, iritasi pada mata, tekak dan kulit serta mampu membunuh sel paru-paru. Kandungan lain yang terdapat di dalam rokok elektronik dan vape juga boleh mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan.

Prinsip passive smoker seperti pada rokok konvensional juga terpakai pada rokok elektronik dan vape di mana orang yang berada di sekeliling juga akan mendapat kesan jembusan wap yang keluar daripada rokok elektronik dan vape. Oleh itu, ia tidak hanya memberi mudarat kepada penghisap rokok elektronik dan vape tersebut bahkan juga pada orang di sekeliling mereka.

Berdasarkan dapatan kajian-kajian dari sudut perubatan dan saintifik yang dibentangkan tersebut, rokok elektronik dan vape masih tidak terbukti sebagai alternatif rawatan ketagihan berhenti merokok atau nikotin oleh perokok-perokok, malahan ia menyebabkan lebih ramai akan terjebak dalam permasalahan ini termasuk remaja dan kanak-kanak.


2. Dari perspektif syarak, hukum mengharaman memakan atau meminum atau mengambil bahan-bahan yang memudaratkan disebut oleh ulama daripada keempat-empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali dalam kitab-kitab mereka. Mereka menyatakan bahawa bahan-bahan yang memudaratkan tubuh badan haram dimakan, diminum atau diambil sekalipun ia suci seperti racun, tanah, kaca dan seumpamanya.


3. Salah satu dalil umum dalam pengharaman penggunaaan rokok elektronik dan vape ini ialah perbuatan tersebut memudaratkan tubuh. Syariat Islam melarang perbuatan dan tindakan yang membawa kepada kebinasaan dan memudaratkan diri, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud :

Dan jangalah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

Hadith Nabi SAW yang bermaksud : 

 Tidak boleh memudaratkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lain)
(Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)


4. Antara kriteria kemudharatan yang diambilkira oleh Islam dalam pengharaman sesuatu makanan atau minuman atau bahan ialah :

i. Kemudharatan bahan tersebut terbukti dengan jelas atau nyata.

ii. Pengambilan bahan tersebut secara kebiasaannya (ghalib) boleh membawa kemudaratan.

iii. Kemudaratan merangkumi kemudaratan yang berlaku secara segera atau secara perlahan.

iv. Kemudaratan merangkumi sesuatu yang boleh membawa kematian, kehilangan atau kerosakan anggota, membawa penyakit bahaya dan kemudaratan pada akal.

v. Bahan yang memudaratkan tersebut tidak mempunyai sebarang manfaat yang muktabar.


5. Penghujahan berasaskan kepada qiyas juga membuktikan bahawa rokok elektronik dan vape tidak berbeza hukumnya dengan rokok konvensional kerana keduaduanya mempunyai 'illah yang sama iaitu memudaratkan tubuh badan.


6. Penggunaan rokok elektronik dan vape adalah bentuk pembaziran yang diharamkan oleh agama kerana ia adalah perbelanjaan dalam perkara yang sia-sia, tidak berfaedah dan malahan memudaratkan tubuh badan. Ia juga membebankan ekonomi negara bagi membiayai kos rawatan penyakit berkaitan.


7. Pengunaan rokok elektronik dan vape juga terdedah kepada penyalahgunaan yang boleh membawa kepada kegiatan pengedaran ganja dan dadah yang berbahaya. Jesteru, adalah wajar perkara-perkara yang sangat terdedah kepada kemudaratan yang besar ditutup melalui penetapan hukum haram, berasaskan kepada kaedah sadd al-dhari'ah iaitu 'menutup pintu kerosakan'.


8. Berasaskan kepada maslahah umum, pihak pemerintah mempunyai kuasa melarang penggunaan bahan-bahan yang memudaratkan kepada masyarakat bagi menjaga kepentingan umum (maslahah ammah) mereka berdasarkan kaedah fiqh :
Tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah bergantung kepada maslahah.

9. Islam adalah agama yang lengkap yang sentiasa menjaga kehidupan manusia sejagat berdasarkan prinssip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Penggunaan rokok elektronik dan vape ini sekiranya tidak dibendung boleh meruntuhkan lima prinsip syarak ini.


Keputusan : Berdasarkan kepada hujah-hujah yang dikemukakan serta perbincangan dan pandangan yang diberi oleh ahli-ahli Muzakarah bersetuju terhadap keperluan mengharamkan penggunaan rokok elektronik dan vape. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap rokok elektronik dan vape atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan rokok elektronik dan vape.


SUMBER


Baca juga : Hukum Mengambil Wuduk Dalam Keadaan Tidak Berpakaian




Post a Comment

Previous Post Next Post