Artikel Terkini

Adakah Kopi Luwak Haram Diminum ?

Kopi adalah minuman yang dicampurkan dengan air panas yang disedia daripada benih panggang, biasanya dipanggil biji kopi. Kopi mempunyai kesan perangsang pada manusia. Hari ini, kopi adalah satu daripada minuman paling digemari di seluruh dunia.
Adakah Kopi Luwak Haram Diminum ?
Adakah Kopi Luwak Haram Diminum ?
Credit Pic : SUMBER

Luwak adalah nama haiwan kumpulan mamalia daripada spesis musang yang hidup dalam hutan sekitar Asia Tenggara termasuk di kepulauan Indonesia. Haiwan ini menggemari buah kopi sebagai makanan bijian sehariannya. 

Adakah Kopi Luwak Haram Diminum ?

Mamalia ini diketahui tabiatnya hidup dengan menyelongkar biji kopi dan memilih biji kopi yang segar dan betul-betul masak sebagai makanannya. Biji kopi yang berkulit keras biasanya tidak akan tercerna dan akan keluar bersama najisnya.
Kopi Luwak pula merujuk kepada biji kopi yang keluar bersama najis musang tersebut akan dicuci dan diproses untuk dijadikan kopi. Kopi Luwak diusahakan secara kecil-kecilan di daerah Bali, Jawa dan Sumatera Indonesia sebagai tempat memproses yang tidak menggunakan mesin (cara manual).
Di sini dibentangkan beberapa pandangan ulama yang berkaitan dengan isu ini:
- Menurut Imam al-Nawawi: “ Jika ada haiwan memakan biji tumbuhan kemudian dapat dikeluarkan daripada perut, jika tetap keadaannya dengan sekiranya jika ditanam dapat tumbuh maka ia tetap suci.”
- Dalam Kitab Hasyiah I’anatu al-Thalibin Syarh Fath al-Mu’in pula: Jika ada haiwan memuntahkan biji tumbuhan atau mengeluarkannya melalui kotoran, jika biji tersebut keras sekira ditanam dapat tumbuh maka statusnya adalah mutanajjis bukannya najis.
Setelah melihat kepada pandangan ulama berkenaan sesuatu makanan yang diselimuti dengan najis, maka kita dapat simpulkan bahawa kebanyakkannya mereka berpandangan bahawa jika sesuatu biji tumbuhan itu dimakan oleh binatang kemudian dikeluarkan menerusi perkumuhannya, maka ia adalah suci jika struktur biji tumbuhan itu masih lagi utuh, baik dan dapat tumbuh jika ditanam.
Selain itu, terdapat juga beberapa fatwa dan pandangan yang telah diberikan oleh para sarjana Islam berkenaan isu ini, antaranya :
Menurut pandangan Majelis Ulama Indonesia (MUI) menyatakan bahawa biji kopi yang keluar bersama-sama najis luwak adalah mutanajjis (iaitu terkena najis). Ini sebagai mana diumumkan melalui fatwanya bahawa, kopi luwak adalah halal setelah melalui proses pencucian. Diperbolehkan meminum, memproduksi, dan memperdagangkannya.
Menurut pandangan Fadhilatul al-Sheikh Ahmad Hujji al-Kurdi, seorang pakar dalam bidang al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah dan juga salah seorang anggota Jawatankuasa Fatwa Negara Kuwait telah memberi fatwa untuk menjawab soalan yang ditanya kepada beliau mengenai hukum meminum kopi yang berasal daripada najis musang adalah tidak harus kerana ia adalah najis.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 telah memutuskan bahawa biji Kopi Luwak (musang) adalah bersifat mutanajjis dan ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat :
- Biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam; dan
- Biji kopi tersebut hendaklah dibersih dan disucikan terlebih dahulu daripada najis.
Kopi Luwak yang dihasilkan tersebut hendaklah terlebih dahulu mendapatkan sijil pengesahan halal daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.
Setelah melihat dan menekuni pandangan ulama tentang hukum kopi luwak, kami lebih cenderung berpandangan kopi tersebut pada asalnya dikira sebagai kategori “mutannajis” (terkena najis) tetapi selepas dibasuh dan diproses maka hilanglah kenajisannya. Justeru, hukumnya adalah HARUS.
Sehubungan itu, kami juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk menasihati umat Islam agar sentiasa berhati-hati dalam pengambilan apa jua makanan dan juga minuman agar ia benar-benar bertepatan dengan prinsip halalan tayyiban agar segala daging yang tumbuh pada tubuh badan kita berpunca daripada sumber yang baik seterusnya menjauhkan kita neraka Allah SWT. Oleh itu, tanyalah kepada yang mengetahui agar kita tidak terjerumus ke lembah syubhah.

Baca Juga : Adakah Dibolehkan Membuat Majlis Petunangan Secara Besar-Besaran Dalam Islam ?

No comments:

Post a Comment