Artikel Terkini

Hukum Berkenaan Pengambilan Pil Minda Untuk Anak-Anak


Lambakan pil minda yang dari pelbagai jenama yang dikatakan mampu membuatkan anak lebih bijak dan pintar semakin banyak di jual di pasaran. Tetapi adakah ianya dibolehkan dalam Islam? 

Hukum Berkenaan Pengambilan Pil Minda Untuk Anak-Anak
Hukum Berkenaan Pengambilan Pil Minda Untuk Anak-Anak
Credit Pic : SUMBER

Soalan : 

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Apakah hukum berkenaan tentang pengambilan pil minda yang banyak terdapat di pasaran pada masa kini? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Hukum Berkenaan Pengambilan Pil Minda Untuk Anak-Anak


Jawapan :

Di dalam Islam, kita disuruh untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mencapai cita-cita atau impian yang di inginkan. Tidak terdapat jalan mudah atau jalan pintas dalam mencapai sesuatu kejayaan tanpa kesungguhan yang gigih. Allah SWT berfirman :

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d: 11)

Kecerdikan dan kepandaian dalam sesuatu ilmu pengetahuan adalah diperolehi dengan cara dipelajari. Sesuatu ilmu ini tidak dapat diwarisi serta tidak dapat diperolehi melainkan dengan jalan pembelajaran. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Muawiyah Bin Abi Sufyan R.A, bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya ilmu dengan dipelajari.” (Riwayat al-Baihaqi (252))

Memetik kenyataan akhbar, menurut Dr. Jamnul Azhar, secara saintifiknya, makanan minda tidak memberi apa-apa maksud secara langsung yang boleh mencerdaskan tetapi ianya lebih kepada memperbetulkan fungsi badan. Penggunaan pil seperti ini adalah salah satu makanan tambahan atau suplimen yang membantu tubuh badan manusia untuk berfungsi dengan lebih baik.

Menjawab kepada soalan ini, penggunaan atau pengambilan pil minda ini adalah harus serta dibolehkan. Hal ini kerana, perkara ini termasuk dalam perkara-perkara duniawi yang dibenarkan sehingga terdapatnya dalil-dalil yang melarang kepada perkara tersebut.


KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami cenderung mengatakan hukum pengambilan pil minda yang terbukti berkesan menurut kajian saintifik adalah harus dan dibolehkan selagimana pil tersebut tidak mengandungi bahan-bahan terlarang dan diharamkan oleh syarak. Namun demikian, konsep penyampaian maklumat yang digunapakai dalam aktiviti pemasaran perlulah dinyatakan dengan jelas dan jujur serta tidak memanipulasi fakta yang sebenar berkenaan pil genius tersebut. 

Begitu juga dari sudut penamaan produk, ianya perlulah selari dengan konsep yang dibawakan dan bukanlah sekadar bertujuan melariskan produk semata-mata. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan pengguna berterusan dalam kekeliruan serta mendapat maklumat yang tidak tepat. 

Berlaku jujurlah dalam setiap perkara, pasti akan terdapat keberkatan di kemudian hari.
Semoga dengan apa yang disampaikan ini membuka minda dan memberi kefahaman kepada kita semua dalam melayari kehidupan berlandaskan syariat Islam yang sebenar.  



Baca Juga : Cara Melayan Tetamu Mengikut Cara Islam

No comments:

Post a Comment